Denda 10ribu (atau penjara 3 bulan) tidak keluarkan invoice bercukai

Byzam

Denda 10ribu (atau penjara 3 bulan) tidak keluarkan invoice bercukai

MELAKA – Sepasang suami isteri pemilik kedai perkakasan didenda RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah gagal mengeluarkan invois cukai.

Mereka dituduh, sebagai orang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, gagal mengeluarkan invois cukai.

Hakim Norma Ismail turut memerintahkan tertuduh Hau Guan Beng, 44, dan Oon Yen Ping, 38, dihukum penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Kedua-dua tertuduh membayar denda itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Zhien Hoe Henn Enterprise, 52, Taman Saujana Permai 1, Bukit Katil di sini pada pukul 12.15 tengah hari 25 Mei tahun lepas.

Sementara itu dalam mahkamah sama, dua pemilik sebuah kedai menjual peralatan telekomunikasi mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang serupa.

Lee Mee Siang, 25, dan Hau Cai Xui, 27, didakwa melakukan kesalahan itu di Cindy Communication, G 24, Plaza Hang Tuah, Jalan Tun Mamat di sini pada jam 11 pagi, 15 Mei tahun lepas.

Norma membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua kes itu didakwa di bawah Seksyen 33(2)(a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 96 akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guan Beng dan Yen Ping tidak diwakili peguam, Mee Siang dan Cai Xui diwakili peguam Melvin Tay Yee Shian manakala pendakwaan kedua-dua kes tersebut dilakukan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia James Ho Sing Hock. – Bernama

sumber : SH

About the author

zam administrator

You must be logged in to post a comment.